HOMEOPATI : Kaedah Perubatan Berseni

Homeopati??? Masih ramai masyarakat Malaysia yang menganggap homeopati ialah kaedah perubatan baru dan juga perubatan herba. Tidak kurang juga yang masih belum mengetahui apa itu perubatan Homeopati.

Remedi Homeopati amat digemari terutama kanak-kanak.


Mungkin sangkaan mereka itu ada kebenarannya. Hal ini disebabkan maklumat tentang homeopati tidak begitu meluas di kalangan masyarakat dan masih ramai yang belum benar-benar yakin dengan keberkesanan ubat homeopati.
Bagi mereka yang sudah mendapat rawatan homeopati pasti mengakui keunikannya. Dikatakan unik kerana rasa ubatnya yang manis, berbeza dengan ubat-ubat daripada perubatan biasa yang umunya kita ketahui mempunyai rasa yang pelbagai seperti pahit, manis, masam dan sebagainya.
Sebenarnya disinilah letaknya seni perubatan homeopati. Rasa manis ini lebih mudah diterima oleh pesakit yang ‘takut’ memakan ubat, apalagi kanak-kanak. Bapa Perubatan Moden sendiri pernah mengatakan bahawa tidak ada orang yang boleh menjadi doktor yang baik tanpa mempunyai sifat-sifat cintakan seni kesembuhan, cintakan kemanusiaan dan cintakan orang sakit. Jadi seni penyembuhan yang ada pada Homeopati ialah ubat-ubatannya yang manis dan mudah diterima oleh masyarakat.


Berdasarkan atas prinsip cintakan kesembuhan tersebut, Dr Christian Samuel Hahnemann dari Jerman berjaya menemukan kaedah Homeopati kira-kira pada tahun 1790-an. Samuel Hahnemann belajar perubatan kedoktoran di Leipzig selama dua tahun tetapi terpaksa beralih ke Erlangen kerana Erlangen mempunyai struktur yuran yang berpatutan. Tesisnya dikenali dengan tajuk “A Dissertation on the Causes and Treatment of Spasmodic Diseases.” Selepas tamat pengajian, beliau menggunakan kaedah tradisional dan konvensional namun beliau tidak berpuas hati dengan kaedah tersebut yang disifatkan kejam dan menyakitkan. Beliau semakin menjauhi perubatan konvensional apabila kehilangan anak-anaknya semasa wabak influenza melanda , dan ini menjadi daya penggerak kepada beliau dalam penemuan teori dan amalan perubatan alternatif untuk masa depan yang lebih selamat dan sihat.
Homeopati sebenarnya berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘homoes’ untuk persamaan atau serupa dan ‘pathy’ bagi sakit atau penyakit. Jadi homeopati bermaksud rawatan yang berasaskan persamaan atau rawatan secara serasi iaitu berubat dengan ubat yang serupa dengan penyakit yang dihidapi. Dalam bahasa inggeris disebut ‘like cures like’ bermaksud serupa dengan serupa menyembuhkan.
Cara pemprosesan ubat-ubatan homeopati amat berbeza dengan ubat biasa. Remedi homeopati tidak menggunkan crude form (pati ubat) tetapi menggunakan ubat yang diproses dengan memperhaluskan kuasa ubat (drug) tersebut sehingga hilang segala racun yang ada dan yang tinggal hanyalah kuasa penawar. Kuasa penawar inilah menjadi ubat yang paling berkesan mengubati sebarang penyakit.


Kaedah pengubatan homeopati memerlukan proses kaunseling yang menyeluruh antara pesakit dengan perawat. Dalam hal ini, masa agak lama diperlukan oleh seseorang perawat homeopati untuk bertanyakan pelbagai hal yang meliputi keadaaan diri, perubahan sifat serta tingkah laku pesakit. Pengumpulan maklumat ini adalah bagi mendapatkan gejala sebenar dan lebih tepat serta terperinci. Remedi atau ubat akan dipilih berdasarkan maklumat yang diberi. Kebiasaannya hanya satu remedi yang memenuhi hampir semua atau keselurahan gejala-gejala yang telah diberitahu oleh pesakit akan diberikan didalam satu-satu masa. Jika perlu di x-ray, pesakit berkenaan akan disarankan untuk mendapatkan x-ray di klinik biasa atau hospital.
Dalam setiap aspek kehidupan, kita perlu diberi pilihan. Homeopati adalah pilihan kepada masyarakat yang tidak dapat menerima atau serasi dengan kaedah perubatan biasa. Yang pasti, seperti kaedah perubatan lain, tujuannya sama iaitu untuk memberi kesihatan kepada masyarakat.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

Scroll to Top